Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengemukakan tawaran pengambilalihan secara sukarela bersyarat untuk 40.58 peratus saham Boustead Holdings Bhd (BHB) yang tidak dimilikinya pada kadar 85.5 sen sesaham.
Berdasarkan bilangan saham tertunggak iaitu sebanyak 822.51 juta, atau 40.58 peratus daripada BHB, dana persaraan angkatan tentera itu dijangka perlu membayar RM703.25 juta untuk pengambilalihan saham berkenaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd yang bertindak mewakili LTAT berkata, tawaran itu mewakili premium 36.8 peratus atau 23 sen daripada transaksi terakhir harga saham BHB pada 1 Mac 2023 iaitu 62.5 sen.
Katanya, tawaran pengambilalihan secara sukarela bersyarat itu terbuka selama 60 hari bermula hari ini sekiranya LTAT tidak menarik semula tawaran berkenaan.
“Tawaran ini tidak akan mencetuskan tawaran mandatori oleh LTAT untuk mengambilalih semua baki saham undi dalam Affin Bank Bhd, Boustead Plantations Bhd, Boustead Heavy Industries Corporation Bhd dan Pharmaniaga Bhd yang tidak dimiliki oleh LTAT sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya.
Sementara itu, LTAT dalam kenyataan berasingan berkata, tawaran berkenaan tidak bersyarat pada mana-mana tahap minimum penerimaan kerana ia memegang 59.42 peratus dalam BHB, melebihi 50 peratus minimum saham mengundi yang diperlukan.
“Bagaimanapun, tawaran ini bersyarat atas kelulusan Menteri Kewangan (MOF) atas syor Bank Negara Malaysia (BNM) dan kelulusan BNM di bawah Seksyen 87 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Seksyen 99 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) untuk membenarkan Pihak Mengemukakan Tawaran memperoleh sehingga 100 peratus kepentingan ekuiti dalam BHB; dan pengecualian daripada BNM daripada mematuhi Seksyen 110 FSA dan Seksyen 122 IFSA berhubung dengan keperluan untuk LTAT dan/atau syarikat yang dicalonkan untuk diluluskan sebagai syarikat pegangan kewangan Affin Bank Bhd dan entiti berlesen lain yang berkaitan,” katanya.
LTAT berkata, syarat itu mesti dipenuhi dalam tempoh 21 hari selepas tarikh penutupan pertama, mengikut Peraturan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengenai Pengambilalihan, Penggabungan dan Pengambilalihan Wajib.
“Tawaran ini adalah satu langkah penting bagi LTAT dalam mengambil (Boustead) secara persendirian membenarkan, fleksibiliti yang lebih besar bagi LTAT untuk melaksanakan pelan pemulihan untuk (Boustead) sebagai sebahagian daripada objektifnya dalam memastikan kemampanan dana untuk Angkatan Tentera Malaysia dan veteran, selaras dengan pelan transformasi berterusan LTAT.
“LTAT pada masa ini tidak mempunyai sebarang rancangan untuk memecat atau membuang mana-mana pekerja (Kumpulan Boustead) sebagai akibat langsung daripada tawaran ini,” katanya.