
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 15 Julai lalu memerintahkan lima bekas pegawai kanan Sime Darby Berhad, termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), membayar semula lebih RM350 juta kepada syarikat itu berhubung kerugian akibat bayaran tidak wajar dalam tiga projek luar negara lebih dua dekad lalu.

Antara yang dinamakan ialah Datuk Seri Zubair @ Zubir Murshid, bekas CEO kumpulan tersebut, bersama empat lagi iaitu:
1. Datuk Shukri Baharom – Bekas Naib Presiden Eksekutif Bahagian Tenaga & Utiliti

2. Rahim Ismail – Bekas Ketua Pegawai Kewangan bahagian Sime Darby
3. Kadir Alias – Bekas Ketua Unit Perniagaan Minyak & Gas
4. Zaki Othman – Bekas Pengurus Besar Kanan Sime Darby Engineering
Kelima-lima defendan tersebut sebelum ini telah mengaku bertanggungjawab terhadap bayaran salah kepada perunding dalam tiga projek besar melibatkan syarikat Qatar Petroleum (QP), Maersk Oil Qatar (MOQ), dan projek pembinaan kapal di bawah Sime Darby Engineering.
Namun, keputusan bersejarah yang diumumkan 15 julai itu merupakan penilaian mahkamah terhadap jumlah ganti rugi yang perlu dibayar, susulan pengakuan liabiliti mereka yang dibuat sejak tahun 2014.
Jumlah Tuntutan Mencecah RM350 Juta
Antara jumlah bayaran yang diperintahkan oleh mahkamah termasuk:
1. 67.81 juta riyal Qatar (kira-kira RM79.2 juta)
2. USD2.05 juta (sekitar RM8.7 juta)
3. RM1.725 juta secara langsung
Termasuk kos, faedah dan penalti yang menjadikan anggaran keseluruhan melebihi RM350 juta
Keputusan itu turut menolak semua bantahan undang-undang yang dibangkitkan oleh kelima-lima defendan ketika perbicaraan penilaian.
Skandal Korporat Besar Era 2000-an
Kes ini dikaitkan dengan salah satu skandal korporat terbesar negara yang mula terbongkar sekitar tahun 2008–2010, semasa Sime Darby menanggung kerugian berbilion ringgit dalam projek-projek minyak dan gas luar negara. Insiden itu telah mencetuskan siasatan dalaman dan pertukaran kepimpinan besar-besaran dalam kumpulan korporat tersebut.
Zubir Murshid digantung tugas pada 2010 dan kemudiannya meletak jawatan, namun tindakan undang-undang oleh Sime Darby hanya difailkan selepas audit forensik menunjukkan wujud unsur kecuaian dan pelanggaran amanah dalam meluluskan bayaran kepada pihak ketiga tanpa justifikasi kukuh.
Langkah Pemulihan Reputasi
Menurut penganalisis, keputusan Mahkamah Tinggi ini menjadi penanda penting dalam usaha syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menegakkan akauntabiliti dalam pentadbiran korporat.
“Ia menunjukkan bahawa pengakuan liabiliti tidak semestinya menamatkan proses keadilan, terutama apabila jumlah kerugian melibatkan ratusan juta dana awam,” kata seorang peguam korporat yang enggan dinamakan.
Ini bermakna Bekas CEO dan pegawai pentadbiran GLC tidak akan terlepas sekalipun selepas bersara. Semua apa yang dilakukan termasuk pecah amanah masih boleh dikorek sampai bila-bila.