
Bekas menantu PM 9 Datuk Seri Ismail Sabri yang juga pereka fesyen terkenal, Jovian Mandagie, diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Insolvensi) selepas gagal melunaskan pinjaman berjumlah RM5.28 juta kepada sebuah syarikat pembinaan kejuruteraan, Cekap Air Sdn Bhd.
Berita saman terhadap Datuk Jovian Mandagie sejak julai tahun 2024 apabila mahkamah tinggi memerintahkan Jovian untuk membayar RM10 juta kepada dua pengarah syarikat selepas didapati gagal membayar dua pinjaman persahabatan (friendly loan).
Perintah muflis itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Muhammad Faisal Zulkifli, selepas membenarkan petisyen pemiutang yang difailkan syarikat berkenaan pada 20 November 2024.
Menurut kandungan petisyen tersebut, Jovian, selaku penghutang penghakiman, telah melakukan perbuatan kebankrapan apabila gagal mematuhi notis kebankrapan bertarikh 21 Mei tahun lalu — iaitu tidak membayar jumlah hutang yang telah ditetapkan oleh mahkamah dalam tempoh enam bulan seperti diperuntukkan di bawah undang-undang.
Jumlah hutang termasuk faedah yang dituntut Cekap Air setakat 21 Mei 2024 adalah sebanyak RM5,284,340.66, berdasarkan penghakiman terus yang diperoleh oleh syarikat itu daripada Mahkamah Tinggi pada 2 April 2024.
Menurut peguam syarikat, Siti Nur Athirazatti Rohizad, notis kebankrapan difailkan selepas Jovian gagal mematuhi keputusan penghakiman terus yang dikeluarkan mahkamah tanpa melalui proses perbicaraan.
Jelas beliau, selepas mahkamah membenarkan pengeluaran notis tersebut, pihaknya seterusnya memfailkan petisyen pemiutang, yang kemudiannya diterima dan dibenarkan oleh mahkamah.
“Jovian ada memfailkan permohonan untuk menggantung dan membatalkan notis serta petisyen kebankrapan itu, namun semuanya telah ditolak oleh mahkamah,” katanya.
Terdahulu, pada 16 Mei 2023, Cekap Air memfailkan saman terhadap Jovian atas dakwaan gagal membayar semula wang pinjaman berjumlah RM5 juta yang dipinjamkan atas dasar persahabatan.
Dalam pernyataan tuntutannya, syarikat itu mendakwa Jovian telah meminta pinjaman secara lisan pada 25 Februari 2022, dan wang berkenaan telah dipindahkan ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili beliau.
Cekap Air turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa hubungan peribadi antara Jovian dan pengarah syarikatnya, Yong Zhen Wei, menjadi asas kepada pemberian pinjaman tersebut.
Rayuan Jovian terhadap penghakiman terus yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi dijadual akan didengar pada 15 September ini.