
MMAG Holdings Berhad dikuasai Victor Chin Boon Long melantik Datuk Wira Farhash Wafa Salvador sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif syarikat berkenaan.
Farhash dilantik selepas beliau muncul sebagai pemegang saham utama syarikat tersebut dengan pegangan sebanyak 20 peratus.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia menyatakan Farhash sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan, perundingan dan penasihatan.
Farhash merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Apex Equity Holdings Berhad, sebuah firma pembrokeran saham dan perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia.
Selain itu, beliau memegang jawatan Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad serta Pengerusi Eksekutif Excel Force MSC Berhad dan Key Alliance Group Berhad.
Selain itu Farhash juga menganggotai Lembaga Penasihat Yayasan Usahawan Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan keusahawanan.
MMAG turut memaklumkan di bursa, bahawa Chin Boon Long dan isterinya Madam Chan Swee Ying tidak lagi menjadi pemegang saham utama syarikat. Chan Swee Ying baru-baru ini menjual 9.53%. pegangan sahamnya kepada NexG Berhad menjadikan NexG sebagai pemegang saham utama MMAG Holdings.
Di samping itu, MMAG melantik Pengarah Eksekutif Velocity Capital Partner Berhad, See Toh Kean Yaw, sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif pada 27 Mac 2025.