
Peguam kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berhujah di Mahkamah Rayuan bahawa saksi utama pendakwaan, bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, mengalami tekanan melampau semasa siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Taktik biasa Datuk Hisyam Teh Poh Teik
Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik menyatakan bahawa Rafiq, yang ditahan reman selama enam hari oleh SPRM, mengakui mengalami tekanan mental yang teruk sepanjang tempoh tersebut. Beliau berhujah bahawa tekanan ini mungkin menyebabkan Rafiq menyesuaikan keterangannya untuk memenuhi kehendak SPRM.

Hisyam juga menekankan bahawa kegagalan hakim perbicaraan untuk mempertimbangkan tekanan yang dialami oleh saksi utama tersebut merupakan satu kesilapan serius dan boleh dikategorikan sebagai salah arah perbicaraan. Beliau menambah bahawa Syed Saddiq tidak menerima perbicaraan yang adil, yang merupakan hak yang dijamin di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.
Syed Saddiq sedang merayu terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023, termasuk penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Armada
Niat jahat, guna alasan manfaat politik
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berniat jahat dengan berselindung di sebalik alasan political mileage (manfaat politik) untuk mengarahkan pengeluaran RM1 juta daripada akaun ARMADA.
Menurut Wan Shaharuddin, Syed Saddiq mengetahui bahawa alasannya menggunakan pengeluaran dana itu kerana khuatir akan berlakunya pergolakan dalam parti dan wang di dalam akaun ARMADA adalah hasil titik peluhnya adalah suatu tindakan yang salah.
Beliau berkata, niat jahat Syed Saddiq boleh dilihat melalui tindak-tanduk beliau bermula daripada episod pertama iaitu sebelum pengeluaran wang itu pada 6 Mac 2020 sehingga episod terakhir iaitu selepas 28 Mei 2020, apabila tidak memegang apa-apa jawatan di dalam BERSATU atau ARMADA.
Menurut Wan Shaharuddin, berdasarkan cadangan peguam bela yang diajukan kepada saksi pendakwaan ketika perbicaraan kes itu, adalah jelas bahawa pengeluaran wang berkenaan berlaku selepas Langkah Sheraton pada hujung Februari 2020.
Beliau berkata Langkah Sheraton adalah pergolakan politik sehingga menyebabkan jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) di mana mahkamah boleh mengambil notis kehakiman berhubung perkara itu.
Katanya, keterangan saksi pendakwaan ke-13 (SP13) iaitu Penolong Bendahari ARMADA, Rafiq Hakim Razali tidak tercabar, di mana adanya perjumpaan dan perbincangan di rumah Syed Saddiq (perayu) di antara beliau, SP13 dan saksi pendakwaan ke-11, iaitu bekas Penolong Setiausaha ARMADA, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi selepas Langkah Sheraton.
Wan Shaharuddin yang juga Ketua Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata keterangan Rafiq Hakim bahawa perayu memberi arahan kepadanya untuk mengeluarkan wang itu dan ia adalah bagi manfaat politik, adalah tidak tercabar.
“Adalah hujahan kami, arahan yang diberikan oleh perayu kepada SP13 itu mempunyai kaitan rapat dengan Langkah Sheraton. Keterangan SP11 dan SP13 adalah jelas bahawa perayu khuatir pertukaran pucuk pimpinan di dalam BERSATU atau ARMADA sebelum pengeluaran wang berkenaan.
“Kami menyatakan alasan (manfaat politik) ini menunjukkan niat jahat perayu apabila mengeluarkan wang itu. Perayu seolah-olah menjadikan wang di dalam Akaun ARMADA seperti miliknya sendiri yang boleh beliau gunakan sewenang-wenangnya tanpa membuat sebarang kertas kerja.
“Perayu juga tidak memaklumkan kepada SP13 sama ada beliau sudah mendapat kelulusan daripada sesiapa untuk mengeluarkan wang terbabit.
“SP13 sebenarnya menjadi alat kepada perayu. Sama juga ahli-ahli kumpulan WhatsApp ‘VALUE ADD’ yang dijadikan alat untuk perayu untuk membersihkan imej sehingga sanggup mengheret ibu bapanya yang tidak bersalah di dalam masalah yang dia sendiri menjadi puncanya,” katanya.

Wan Shaharuddin berkata, persoalan perlu dijawab oleh Syed Saddiq adalah mengapa arahan beliau untuk mengeluarkan wang tersebut tidak dibuat sebelum Langkah Sheraton.
Beliau berkata, Syed Saddiq tidak boleh membantah atau menafikan tentang Langkah Sheraton kerana fakta itu dibangkitkan oleh pembelaan sendiri semasa pemeriksaan balas mereka ke atas saksi pendakwaan.
Katanya, episod ini telah disokong oleh keterangan SP11 mengenai arahan yang diberikan oleh Syed Saddiq adalah bagi manfaat politik, yang konsisten dengan keterangan SP13.
“Keterangan SP13 berkenaan pengeluaran RM1 juta bagi manfaat politik perayu juga tidak dicabar oleh pihak pembelaan.
“Menurut SP13, kaitan antara Langkah Sheraton dan pengeluaran wang pada 6 Mac 2020 dengan perayu adalah usaha untuk menyelamatkan perayu untuk mendapatkan manfaat politik perayu.
Sementara itu, Wan Shaharuddin berhujah, hakim bicara Mahkamah Tinggi mempunyai alasan kukuh untuk memanggil Syed Saddiq untuk menjelaskan kepada mahkamah dan rakyat Malaysia mengapa beliau menggunakan alasan wang dalam akaun ARMADA adalah hasil titik peluhnya dan berhak menggunakannya.
Wan Shaharuddin berkata, sehingga kini tiada langsung penjelasan Syed Saddiq mengenai perkara itu dalam bentuk keterangan yang dikemukakan di mahkamah, di mana keterangan hanya datang daripada SP13 dan dokumen yang dirujuk oleh peguam bela sendiri kepada saksi terbabit.
Beliau berkata, bekas Presiden MUDA itu juga mempunyai beban di bawah Seksyen 9 Akta Keterangan 1950 untuk memberikan penjelasan mengapa beliau menggunakan alasan pertukaran pucuk pimpinan dalaman BERSATU atau ARMADA sebagai salah satu alasan untuk mengeluarkan arahan kepada Rafiq Hakim untuk mengeluarkan RM1 juta daripada akaun rasmi ARMADA.
“Adalah hujahan kami sebagai salah seorang pemegang amanah kepada Akuan ARMADA ini dan sebagai seorang pemimpin yang selalu menggambarkan kepada masyarakat umum imej bersih beliau, perayu patut lebih tahu beliau tidak patut menggunakan dua alasan itu untuk mengarahkan SP13 melakukan suatu kesalahan,” katanya.
Syed Saddiq, 32, merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana ARMADA.
Prosiding dijalankan di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin akan bersambung pada tarikh lain.