Semalam YTL mengumumkan siasatan kes SPRM selesai selepas menerima surat daripada SPRM memaklumkan kepada YTL status siasatan 1BestariNet yang kontroversi sejak beberapa tahun lalu.
Sebagai sebuah syarikat senarai awam pengumuman itu perlu untuk memulihkan persepsi, meyakinkan pelabur dan imej YTL di peringkat antarabangsa sebagai sebuah konglomerat terkenal di dunia.
Kali ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil mengesahkan sendiri sejak September lalu bahawa tiada unsur jenayah dalam pelaksanaan tender projek 1BestariNet bernilai RM4 bilion di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya juga sudah menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bahawa tiada pertuduhan akan dikenakan terhadap mana-mana pihak berhubung pelaksanaan kontrak projek 1BestariNet.
Bagaimanapun, Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM mengambil langkah susulan dengan memberi tumpuan kepada siasatan dari aspek tadbir urus serta isu berkaitan tuntutan kewangan dalam kontrak di antara YTL Communications Sdn Bhd dan KPM.
“TPR telah mengarahkan SPRM untuk menyerahkan laporan penuh hasil siasatan kepada KPM. Selain itu, SPRM turut disaran mengeluarkan syor-syor penambahbaikan,” menurutt suruhanjaya berkenaan.
Antara langkah utama yang disyorkan ialah KPM kembali ke meja rundingan bersama YTL Communications untuk mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang isu berbangkit daripada kontrak tender perkhidmatan yang telah dipersetujui sebelum ini.
Kes yang telah lama selesai selepas disahkan oleh PAC Parlimen menemui tiada unsur rasuah dan salahlaku. Bagaimanapun kes 1BestariNet muncul selepas selepas tindakan Dr Mazlee Malik membangkitkan isu itu dalam bukunya dan media sosial. Dr Mazlee yang berdendam dengan Muhyiddin menulis punca dia dipecat sebagai Menteri Pendidikan adalah kerana 1BestariNet dan YTL. Bagaimanapun beliau tidak pernah menyerang Datuk Seri Mahdzir Khaled bekas Menteri Pendidikan menyambung kontrak 1BestariNet.
Projek 1BestariNet yang dimulakan oleh KPM pada 2011, bertujuan menyediakan akses internet berkelajuan tinggi ke sekolah-sekolah serta memperkenalkan sistem pembelajaran maya.