Mahkamah Sesyen di sini menetapkan tujuh hari bermula 9 April tahun depan untuk Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Hakim Rosli Ahmad menetapkan 9 hingga 11 April, 14 dan 15 April serta 5 dan 6 Mei 2025 untuk perbicaraan kes itu.
“Mahkamah turut menetapkan 21 Januari untuk pengurusan kes,” katanya yang mengekalkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Rosli adalah hakim baharu yang mendengar kes pasangan suami isteri itu selepas hakim terdahulu, Rozina Ayob, berpindah ke tempat lain.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Law Chin How memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan dan mengekalkan ikat jamin RM100,000 berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.
“Hari ini, ditetapkan sebutan kes berhubung keputusan Mahkamah Rayuan pada 18 November lalu yang mengembalikan kes ini ke Mahkamah Sesyen,” kata Chin How yang mengendalikan kes bersama TPR Mohamad Fadly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide.
Peguam, Datuk Seri K Kumaraendran, A Ashok serta Ridha Abdah Subri yang masing-masing mewakili Bung Moktar dan Zizie Izette, memaklumkan bahawa pihak pembelaan akan memanggil antara lima hingga enam saksi pembelaan, termasuk suami isteri itu.
Mahkamah Rayuan pada 18 November lalu memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berkenaan, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan pasangan itu yang diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 7 September 2023.
Pada 2 September 2022, Rozina memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tiga pertuduhan rasuah itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.
Bung Moktar, 65, yang ketika itu adalah Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, menerusi Zizie Izette, 46, di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati, di sini, antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.