Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis ini.
Kedua-dua mereka akan didakwa berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet, berjumlah RM43.9 juta.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, kepada media hari ini.
Beliau berkata, SPRM menahan pasangan berkenaan tengah hari tadi dan diberikan jaminan untuk hadir ke mahkamah, pada Khamis ini.
Pada 28 November lalu, kertas siasatan membabitkan kerugian pelaburan itu sudah dilengkapkan SPRM.
Susulan itu, kertas siasatan berkenaan sudah diserahkan kepada Bahagian Perundangan SPRM untuk kajian dan pertimbangan.
Terdahulu, SPRM mengesan terdapat beberapa transaksi mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang berkenaan.
Transaksi mencurigakan itu dikesan sejak tahun 2018 hingga tahun lalu.
Masih banyak persoalan berkait kes Fashion Valet tidak berjawab misalnya siapa pegawai MOF, Khazanah dan PNB meluluskan pelaburan itu ketika itu yang tahu Fashion Valet rugi dan membenarkan Fashion Valet membeli syarikat Vivy sendiri 30 Maple Sdn Bhd?
SPRM dilaporkan turut merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.
Persoalan lain pada disember 2023 siapa mengarahkan Khazanah menjual saham mereka miliki dengan harga murah hanya dengan harga RM3.1 juta kepada Syarikat NXBT Partners Sdn Bhd milik Afzal Abdul Rahim, CEO TIME dotCom Bhd? Penjualan itu menyebabkan Khazanah dan PNB rugi RM47 juta. Semua persoalan ini belum terjawab sehinggalah pendakwaan Vivy dan suaminya.