Drama perang HeiTech Padu Bhd, Dagang NeXchange Berhad (“DNeX”) dan Theta Edge Bhd berakhir selepas HeiTech Padu Bhd memperoleh kontrak bernilai RM892.19 juta untuk projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) oleh Jabatan Imigresen Malaysia. Semuanya sudah dijangka hanya masa menentukan. Pengumumannya dibuat pada hari Belanjawan 2025 mengurangkan tekanan netizen Malaysia.
Rosetta Partners Sdn Bhd melalui syarikatnya Mfivesouthsea Sdn Bhd milik Sultan Kelantan menjadi pemegang saham besar dalam HeiTech Padu selepas ia membeli 15.9 peratus kepentingan dalam syarikat itu pada 12 Mac 2024 melalui transaksi perniagaan langsung. Turut memiliki saham HeiTech Padu ialah TS Wong Pengasas MyEG Service Bhd dan Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun Berjaya Group melalui REDTone Digital Berhad dalam 6.38%.
Syarikat itu berkata, kontrak berkenaan adalah untuk mengkaji, mencadangkan, mereka bentuk, membangun, membekal, menghantar, memasang, menguji, menyepadukan, memindahkan dan menyegerakkan data, pentauliahan dan pelaksanaan pengurusan perubahan dan latihan untuk projek NIISe.
“Kontrak ini adalah untuk tempoh 60 bulan bermula dari 18 Oktober 2024 hingga 17 Oktober 2029,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat.
HeiTech Padu berkata, ia perlu mengemukakan kepada kerajaan Malaysia bon prestasi yang berjumlah RM8.92 juta dalam tempoh tidak melebihi 30 hari dari tarikh penerimaan kontrak itu.
“Tanpa sebarang keadaan yang di luar jangka, kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan dan seterusnya sehingga kontrak selesai,” katanya.
Saham dalam Heitech Padu Bhd telah digantung pada Jumaat, kerana pengumuman kontrak Projek NIISe. Syarikat itu mengumumkan dalam pemfailan bursa saham bahawa Bursa Malaysia telah meluluskan permintaannya untuk penggantungan dari 9 pagi hingga 5 petang pada hari Jumaat di bawah subperenggan 3.1 (c) Nota Amalan 2 mengenai Permintaan Penggantungan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities.
Apabila perbincangan mengenai tawaran yang berpotensi berjaya mencecah pasaran, saham dagangan HeiTech Padu memulakan rali pada 13 Sept 2024, meningkat hampir 90% dalam tempoh sebulan untuk ditutup pada RM4.34 sesaham semalam.
Berbanding harga sahamnya pada 88 sen pada awal tahun, saham itu kini bernilai hampir lima kali ganda.
Dagangan saham HeiTech Padu akan disambung semula berkuat kuasa 9 pagi pada 21 Oktober 2024.