Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (AMP) sebanyak RM660,000 terhadap Bank Pertanian Malaysia Bhd (Agrobank) pada 3 September 2024 kerana tidak mematuhi subseksyen 41(4) Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (AIKP).
Bank pusat dalam kenyataan hari ini berkata, AIKP itu dibaca bersama perenggan 27.4.1, 27.4.2, 28.3.1 dan 28.3.2 dalam Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan.
Menurutnya di bawah dokumen berkenaan, institusi pelapor dikehendaki menjalankan saringan sekatan terhadap pelanggan sedia ada, bakal pelanggan atau pelanggan baharu berdasarkan Senarai Domestikdan Senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR).
Bank pusat berkata ia sebagai sebahagian daripada proses usaha wajar pelanggan dan proses usaha wajar yang berterusan.
“Institusi pelapor juga dikehendaki menyaring seluruh pangkalan data pelanggan mereka untuk sebarang padanan nama positif sebaik sahaja senarai berkenaan diterbitkan oleh pihak berkuasa berkaitan dengan segera,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, bank pusat mengesan ketidakpatuhan ini semasa pemeriksaan di lokasi, yang mendedahkan kekurangan pada dasar dan prosedur dalaman Agrobank serta pelaksanaannya, menyebabkan kegagalan untuk menjalankan saringan sekatan yang tepat pada masanya terhadap pelanggan dan pemilik benefisial.
Meskipun tiada entiti yang dikenakan sekatan yang diambil sebagai pelanggan dan tiada transaksi yang dibuat untuk entiti yang dikenakan sekatan, kekurangan yang dikesan ini telah mendedahkan Agrobank kepada risiko besar untuk disalahgunakan bagi pembiayaan keganasan dan pembiayaan percambahan, katanya.
BNM berkata Agrobank telah mengambil langkah-langkah pemulihan untuk menyemak semula dasar dalamannya serta menambah baik sistem saringan dalaman bagi memastikan saringan sekatan dilakukan segera.
Menurutnya ia akan terus memantau dan menyelia pematuhan Agrobank serta keberkesanannya dalam melaksanakan keperluan berkaitan saringan sekatan.
“Dalam membuat keputusan untuk mengenakan AMP, BNM telah mempertimbangkan faktor-faktor penyebab dan pengurangan yang relevan, termasuk kekurangan dalam dasar dan prosedur serta sistem dalaman Agrobank untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan pada setiap masa.
“Faktor lain adalah kawalan semasa Agrobank yang memerlukan penambahbaikan untuk memenuhi piawaian industri; dan rekod pematuhan Agrobank pada masa lalu,” katanya.
Menurut BNM, Agrobank telah membayar penalti berkenaan pada 13 September 2024. – BERNAMA