KUALA LUMPUR: Tiga premis perniagaan di ibu kota yang dikesan dijadikan pusat panggilan satu sindiket penipuan pelaburan mata wang (forex) digempur polis, semalam. Ketiga-tiga premis yang terletak di sebuah pusat perniagaan di Bangsar itu diserbu hasil risikan oleh Bahagian Risik/Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
Serbuan turut disertai pasukan dari Bahagian Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata seramai 58 individu ditahan terdiri 24 lelaki dan 32 wanita tempatan dalam serbuan itu.
“Modus operandi sindiket ini ialah menggunakan platform media sosial bagi mempromosi serta menawarkan pelaburan ‘forex’ yang menjanjikan pulangan lumayan.
“Mereka bukan sahaja menyasarkan mangsa di dalam negara, malah di luar negara termasuk Vietnam, China, Filipina, Singapura dan Eropah,” katanya.
Dalam serbuan itu juga, katanya polis merampas 50 komputer riba, komputer meja (sembilan), telefon bimbit (empat), satu unit modem wifi serta dua gegantung iklan pelaburan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat unsur penipuan dalam skim pelaburan ‘forex’ yang ditawarkan secara dalam talian itu.
“Kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 23 Oktober untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 511 dan 120B akta sama.